
Minda: Pelihara tutur kata bererti jaga agama
KAEDAH berkomunikasi dan berinteraksi sesama insan dengan aturan
tutur kata berhemah dan bersopan menjadi penentu kepada terbina
perwatakan peribadi yang unggul. Atas dasar itulah Islam amat
memfokuskan perkara itu kepada setiap umatnya.
Penggunaan lisan dengan bahasa sopan akan memberikan impak positif dapat mewujudkan suasana hubungan yang mesra dan kondusif.
Peribadi penting menjaga lisan agar tidak melencong daripada landasan
dikehendaki agama membuatkan Ibnu Qaiyyim rahimullah berpesan yang
katanya,
“Kadangkala manusia diberi kekuatan untuk memelihara dan
menjaga dirinya daripada makanan yang haram, berbuat zalim, berzina,
mencuri, minum khamar (arak), memandang yang haram dan lain lagi.
Bagaimanapun, tidak untuk lisan. Sehingga anda sering melihat seseorang
yang mampu melaksanakan ajaran agama, zuhud dan rajin beribadat, tetapi
sering mengucapkan kata-kata yang mengundang kemurkaan Allah, malah
kadangkala berani menjadi saksi palsu dan menolak kebenaran”.
Manakala Muhammad bin Wasi’ pernah berpesan kepada Malik bin Dinar
dengan katanya; “Wahai Abu Yahya. Menjaga lidah itu lebih sukar bagi
manusia daripada menjaga dinar dan dirham (harta).”
Benar dan tepat
kata-kata itu kerana kita dalam kehidupan moden ini begitu berhati-hati
dan bersungguh-sungguh dalam aspek memelihara harta kekayaan yang kita
miliki.
Bagaimana sikap kita terhadap pemeliharaan lisan atau tutur kata
seharian? Sedangkan aspek memelihara lidah itu mesti diutama dan
didahulukan sebelum menjaga yang lain. Sebab itulah Hasan al-Basri
mengatakan: “Tidak memahami agama yang tidak menjaga lidahnya”. Ibnu
Thaus pula berkata; “Lidahku ini binatang buas, jikalau aku lepaskan, nescaya ia memakan aku”.
Menggunakan lidah untuk mengeluarkan tutur kata baik, berhemah
dan bermanfaat itu menjadikan cermin hati seseorang. Jadi, seharusnya
seseorang itu sentiasa berwaspada dan berfikir panjang sebelum bercakap.
Ini kerana sebarang kata yang menyakiti orang lain atau bersifat keji
akan mengakibatkan suasana perhubungan sesama manusia menjadi keruh dan
tegang.
Abdullah bin Mas’ud berkata; “Demi Allah yang tiada disembah melainkan Dia.
Tiadalah sesuatu yang lebih memerlukan kepada lamanya ditahan selain
lidah”.
Saidina Abu Bakar as-Siddiq dikatakan pernah meletakkan batu
kecil dalam mulutnya untuk mencegah dirinya daripada berkata-kata. Dia
pernah menunjukkan lidahnya sambil berkata; “Inilah yang mendatangkan
hal kebinasaan kepadaku”.
Begitulah berhati-hatinya Abu Bakar dalam
aspek mengeluarkan tutur kata dan begitu takut lidahnya membawa
kecelakaan serta kemurkaan Allah. Kita bagaimana pula?
Sudah
menjadi budaya dalam masyarakat kita, sikap memperkatakan hal orang
lain, khasnya yang bersangkutan sesuatu keaiban suatu amalan biasa dan
tidak menampakkan rasa berdosa. Padahal perbuatan sebegitu amat ditegah
Allah dan jauh melencong daripada kehendak agama. Rasulullah s.a.w
pernah berpesan kepada kita agar tidak membuang masa memperkatakan hal
orang lain yang tidak memberikan sebarang manfaat pun. Rasulullah
bersabda;
“Di antara
kebagusan seorang Islam ialah meninggalkan perkara yang tiada
sangkut-paut dengan dirinya”. (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Akan tetapi keadaan mutakhir ini, kalangan kita umat Islam
begitu ghairah dan berasa seronok pula apabila memperkatakan hal orang
lain. Mari kita
hayati dan renungi betul-betul akan pesanan Atha’ bin Abi Rabah ini:
“Orang sebelum kamu tidak suka kepada kata-kata yang berlebihan
melainkan terhadap kitab Allah (al-Quran), hadis dan sunah Rasul-Nya,
perintah suruhan dan larangan Allah serta berkata yang perlu saja dalam
kehidupan iaitu yang mesti dicakapkan”.
Begitu juga Ibrahim
at-Taimi pernah mengatakan:
“Apabila orang yang beriman itu hendak
bercakap, hendaklah diperhatikan. Jika ada yang bermanfaat baginya, maka
dia bercakap. Jika tidak, dia akan menahan lidahnya daripada bercakap.
Orang yang zalim lidahnya terus-menerus melepaskan kata-kata”.
Ini
satu pesanan yang amat baik buat kita semua supaya menjaga amanah
kurniaan lidah dengan sebaik yang termampu. Amar bin Dinar menceritakan
pada suatu hari seorang lelaki berkata-kata dengan Rasulullah dengan
kata-kata yang banyak. Maka Rasulullah pun bertanya kepadanya,“Ada
berapa dinding yang menghambat lidahmu?’’ Lelaki itupun menjawab: “Dua
bibirku dan gigiku.’’ Lalu Rasulullah berkata lagi kepadanya; “Apakah
dalam keadaan demikian engkau tidak mempunyai sesuatu yang dapat menolak
kata-katamu.” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya)
Dalam keadaan
berkata-kata banyak pun Rasulullah menegur, apatah lagi jika lidah kita
gunakan untuk mengeluarkan tutur kata keji yang berunsur fitnah,
mengumpat orang lain dan berkata dengan sombong. Masya-Allah betapa
besarnya dosa kita jika berkeadaan begitu! Ingatlah dalam Surah
al-Hujurat ayat 12, Allah memberi amaran keras kepada kita agar
menghindari diri daripada salah laku lidah dengan berbuat fitnah,
mengaibkan orang lain dan mengumpat.
Firman Allah yang
bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengintip dan mencari kesalahan dan
keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang
lain”.
Adakah kita menghayati ayat Allah ini dalam kehidupan kita seharian atau meremehkan saja amaran itu?
Sesungguhnya
beruntung dan berbahagialah Mukmin yang bijaksana memelihara lisan atau
lidahnya. Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah. Marilah kita hayati
kenyataan Allah ini, “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan
(atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat
pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya.”
(Maksud Surah
Qaaf ayat 18).
Ini satu lagi peringatan Allah buat kita semua, baca dan renunglah wahai saudaraku sekalian!
Firman
Allah, “Pada hari ketika lidah, tangan dan kaki menjadi saksi atas
mereka terhadap apa yang dulu mereka kerjakan”. (Maksud Surah An-Nur
ayat 24 ) Jadi, berwaspadalah kita dalam menuturkan kata-kata.
Penulis dari salah seorang guru saya ^_6

Jambatan Paling Panjang ( Paling lama atau paling singkat perlu dilalui oleh setiap muslim)
Iaitu Jambatan TITIAN SIRATH yg lebarnya hanya sehelai rambut yg
dibelah tujuh dan tajamnya lebih daripada mata pedang . Dibawahnya
terbentang NERAKA dan disebelahnya terbentang SYURGA yg luas .
Diceritakan bahawa , untuk merentasi titian mengambil masa 15,000 tahun .
5 ribu tahun menaik , 5 ribu tahun mendatar , dan 5 ribu tahun menurun.
Antara perkara yang mesti diimani oleh setiap orang mukmin adalah
mengenai "Sirat" atau titian yang merentangi neraka jahannam menuju ke
syurga.
Tiada seorang pun yang terkecuali daripada melalui titian
tersebut, iaitu sebuah jambatan yang lebih halus daripada rambut dan
lebih tajam daripada mata pedang.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Dan tidak ada seorang daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu, hal
itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah
ditetapkan".-(Maryam: 71).
Ayat tersebut dengan jelas mengatakan
bahawa setiap orang mesti mendekati neraka, maksudnya melintasi titian
yang merentangi neraka jahannam, sama ada para Rasul, Nabi-nabi dan juga
umat manusia biasa.
Kejayaan meniti jambatan tersebut bererti kejayaan yang paling agung untuk menusia menuju destinasi terakhir iaitu syurga.
Manusia akan terpegun dan gementar apabila berdepan dengan titian yang
amat luar biasa itu. Secara zahirnya, tidak ada orang yang mampu
menyeberangi sebuah jambatan yang begitu halus serta amat tajam pula,
ditambah pula bahang api neraka yang begitu panas.
Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):
"Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang bertakwa dan membiarkan
orang-orang yang zalim (jatuh) dalam neraka dalam keadaan
berlutut".-(Maryam: 72).
Orang yang selamat menyeberangi titian
tersebut bukanlah atas kebijaksanaan mereka, tetapi Allah S.W.T. yang
menyelamatkan mereka berasaskan keimanan dan ketakwaan mereka.

Tidak akan lalu seseorang di atas "Sirat" kecuali mereka akan menghadapi
7 sekatan dan setiap sekatan ada soalan-soalan dan pemeriksaan yang
terpaksa dilalui oleh manusia.
Sekatan 1
~~~~~~
Manusia
akan diperiksa mengenai pengakuan Syahadah mereka. Adakah mereka beriman
dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya sebagaimana dalam ucapan Syahadah
mereka.
Sekatan 2
~~~~~~~
Manusia akan diperiksa tentang
solat mereka. Sekiranya solat mereka dilaksanakan dengan sempurna
mengikut rukun dan syarat-syaratnya serta khusyuk hati mereka mengingati
Allah S.W.T. tanpa lalai dan sebagainya, maka mereka dibenarkan
meneruskan perjalanan.
Sekatan 3
~~~~~~
Diperiksa ibadah
puasa. Mereka akan dibenarkan meneruskan perjalanan hanya setelah
didapati ibadah puasanya memenuhi syarat rukun serta tidak dirosakkan
dengan perkara yang membatalkan atau merosakkan pahala puasa.
Sekatan 4
~~~~~~~
Diperiksa mengenai amal zakat. Adakah mereka mengeluarkan zakat apabila
mereka mempunyai harta yang wajib dikeluarkan zakatnya. Jika lulus,
mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.
Sekatan 5
~~~~~~~
Diperiksa mengenai ibadah Haji. Sekiranya mereka mempunyai wang yang
mencukupi dan syarat-syarat lain dapat dipenuhi tetapi mereka masih juga
menangguhkan pemergian untuk menunaikan ibadah haji, nescaya akan
menjadi halangan ketika berada pada sekatan yang kelima.
Sekatan 6
~~~~~~~
Diperiksa mengenai ibadah wuduk dan juga mandi wajib. Wuduk merupakan
satu kaedah untuk menyucikan hadas kecil untuk membolehkan seseorang itu
menunaikan solat. Soal mandi wajib juga menjadi syarat utama seseorang
untuk melakukan ibadah kerana orang yang dalam hadas besar tidak boleh
melakukan solat, membaca Al-Quran dan sebagainya.
Sekatan 7
~~~~~~
Sekatan terakhir akan dihadapkan dengan soalan dan pemeriksaan yang
paling berat, iaitu akan ditanya sama ada mereka ada melakukan kezaliman
terhadap sesama manusia. Di bahagian ini RAMAI YANG FAILED !!
Sekiranya pemeriksaan pada sekatan ketujuh ini gagal dilalui, alangkah
malang nasib seseorang iaitu apabila segala-galanya musnah di peringkat
akhir. Walaupun 6 daripada sekatan itu telah berjaya dilalui, tetapi
terhalang ketika kedudukan syurga telah hampir dicapainya.
Tidak
ada orang yang boleh menyembunyikan kezaliman yang dilakukan terhadap
seseorang lain kerana semua anggota badan akan membuat pengakuan
terbuka.
Dengan itu, lidah menjadi kelu dan tidak mungkin boleh
berdusta untuk menyembunyikan kezaliman yang telah dilakukan oleh
mereka.
Wallahu'alam ^-^
Setakat ni saja dulu, saya nak rehat kan keyboard pula. Jari &
jantung sama berdebar.
Terasa seram sejuk je baca ni
MasyaAllah....Nauzubillah